Sunday 27 October 2013

APA SEBENARNYA PERANCANGAN KEWANGAN ?
Oleh Dr. Hj. Mohd Tamrin CAM
GINEN BERSATU SDN. BHD.

Istilah "perancangan kewangan" lazimnya agak "menggerunkan" sesetengah orang, terutama mereka yang berfikir bahawa perancangan kewangan adalah untuk mereka yang berpendapatan tinggi dan kaya sahaja. Tetapi, benarkah begitu? Jika tidak, apa sebenarnya?
Secara amnya, perancangan kewangan membabitkan pandangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan sendiri yang meliputi pelbagai sudut pengurusan kewangan, hutang dan harta, yang kemudian melalui proses langkah demi langkah untuk mengatasi masalah kewangan, merangka cita-cita kewangan, dan seterusnya mencapai matlamat kewangan yang kita impikan.
Perancangan Kewangan yang sistematik biasanya merangkumi lima proses utama, iaitu ;
1.     Pengurusan Paten Perbelanjaan
2.     Pengumpulan Pemilikan
3.     Pengurusan Risiko
4.     Pengekalan Pemilikan
5.     Pembahagian Pemilikan

1.      Pengurusan Paten Perbelanjaan ( Spending pattern Management )
Merancang Kewangan bermula dengan proses Pengurusan Paten Perbelanjaan. Ia merangkumi Pengurusan aliran tunai, yang mengenalpasti nilai bersih kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang ada). Ini secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.
Bukan sesuatu yang menghairankan, sekiranya kita sentiasa mempunyai wang yang tidak cukup untuk berbelanja. Apatah lagi untuk menabung !
Oleh itu, dari hasil penilaian aliran tunai yang kita perolehi, kita perlu melakukan penilaian semula ;
·        Kaedah belanjawan
·        menghapuskan dan penyusunan semula hutang
·        Penstrukturan semula perbelanjaan
·        membuat tabungan demi mencapai matlamat kewangan kita


2.      Pengumpulan Pemilikan ( Wealth accumulation )
Matlamat kewangan kita biasanya merangkumi matlamat jangka pendek, sederhana, dan panjang. Matlamat kewangan biasanya melibatkan pemilikan harta benda (wealth acquisition). Tiada seorang insan yang waras bermatlamat untuk mempunyai hutang keliling pinggang!.

Matlamat jangka pendek biasanya termasuk dengan belanja harian, rezab tunai dan pemenuhan liabiliti semasa. Matlamat jangka sederhana pula merangkumi antaranya, perkahwinan, pembentukan keluarga ideal, dan pemenuhan impian peribadi semasa. Manakala matlamat jangka panjang pula merangkumi perancangan persaraan, pendidikan anak-anak, pemilikan harta dan lain-lain.

Ada di antara kita yang berhutang   untuk mencapai matlamat kewangan mereka. Selebihnya akan cuba berdikit-dikit meningkatkan pemilikan harta benda melalui pelbagai kaedah demi memenuhi matlamat kewangan mereka. Kedua-duanya tidak menyalahi peraturan perancangan kewangan kita. Antara strategi yang biasa kita ketahui dan gunakan ialah ;


Perancangan  Pelaburan       
Setelah kita menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, kita menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya kita mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan kita.     

Perancangan Cukai      
Perancangan cukai membabitkan semua orang yang mempunyai pendapatan, namun ini yang selalu tidak diambil berat atau dilupakan oleh kebanyakan orang. Oleh itu, perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki, bawah sistem cukai tempatan. Ia dapat membantu untuk mengumpulkan pemilikan.       

Perancangan Persaraan        
kita tidak akan bekerja sepanjang hayat. Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau kita telah mencapai usia mesti bersara, kita terpaksalah bersara. Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan yang dapat memenuhi tujuan ini.        

Perancangan Peningkatan Taraf hidup     
Memiliki gaya hidup yang selesa dan tidak membebankan adalah menjadi impian semua. Bagaimana untuk memilikinya tanpa memberi beban kewangan kepada kita ?.

Perancangan Pemilikan Harta
Memiliki harta hari ini dengan bayaran ansuran pada nilai akan datang ( bi’ bithaman ajil ) merupakan satu kaedah pemilikan harta yang popular. Bahkan ia boleh menjanjikan pulangan yang lumayan dengan peningkatan nilai harta luarjangka yang ekstreem.



3.       Pengurusan Risiko ( Risk Management )

Risiko utama yang kita hadapi semasa di dalam proses mengumpul pemilikan adalah tidak mencapainya! Bak kata pepatah, `Ku sangka panas sampai kepetang, rupanya hujan di tengahari’. Kematian, hilang upaya, atau menghidap penyakit kritikal merupakan risiko yang biasa menggagalkan pengumpulan pemilikan.

Kaedah yang terbaik di dalam menangani risiko ini ialah melalui Takaful atau insurans. Ia merupakan satu kaedah perkongsian risiko yang saperti di ajarkan oleh Islam (takaful). Kaedah ini di panggil `taawun’.

Takaful merangkumi jaminan individu dan jaminan hartabenda, termasuk jaminan liabiliti (hutang). Pada masakini, takaful telah menjadi lebih komprehensif dengan menawarkan pakej pelaburan bersekali dengan menguruskan risiko. Manakala syarikat pengendali takaful bertindak sebagai wakil kepada peserta (wakalah) dan melantik pengurus dana profesional untuk menguruskan pelaburan dengan bertindak sebagai proksi pelaburan peserta (wakallah tharawat).


4.      Pengekalan Pemilikan ( Wealth Preservation )

Perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan memerlukan wang sebanyak 36,000 setahun. Bagi seorang pesara berusia 55 tahun tanpa sebarang sumber pendapatan, memerlukan simpanan sebanyak di atas. Jika beliau bertahan sehingga usia 70 tahun, bermakna beliau memerlukan simpanan berjumlah RM540,000 !!.

Bagaimana jika beliau hanya memiliki wang sebanyak tersebut, dan masih lagi hidup selepas usia 70 tahun? Fikir-fikirkan..

Dalam senario yang lain, seorang almarhum meninggalkan harta bernilai RM1,000,000 dengan hutang berjumlah RM800,000. Beliau mempunyai 10 orang anak dan seorang isteri. Berapakah nilai kekayaan yang dapat diwariskan kepada waris yang berhak?. Apa pendapat anda seorang waris jutawan, mewarisi harta ayahnya sebanyak hanya RM18,182 ?.

Zubair bin Awwam RA seorang sahabat Rasulullah telah menunjukkan tauladan kepada kita sebagai seorang pelabur hartanah yang meninggalkan harta bersih bernilai 50,000,000 bagi di wariskan kepada isteri-isteri dan anak-anak beliau. Bagaimana dengan kita ?.

Bagaimana untuk mengekalkan pemilikan ini sekurang-kurangnya mencukupi bagi perbelanjaan sepanjang hayat kita, sepanjang hayat isteri kita, dan seterusnya diwariskan kepada waris kita. Sebagai perancang kewangan bertauliah, adalah menjadi tugas kita untuk mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian.

5.      Pembahagian Pemilikan ( Wealth Distribution )

Pembahagian harta tidak pernah menjadi semudah menyerahkannya bulat-bulat kepada waris selepas kematian kita. Juga tidak semudah membahagi-bahagikannya semasa hayat kita.

Terlampau banyak kes pembahagian harta yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini. Malah ianya bernilai berbilion-bilion Ringgit.
Adalah tanggungjawab setiap mukmin untuk memahami perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW di dalam mengurus harta ini. Harta adalah amanah Allah SWT untuk di urus mengikut perintahNya.
Fahami kaedah pembahagian faraid, wasiat, sekatan dan batasan perundangan yang ada. Pastikan harta kita memberi manfaat selepas kematian kita dengan menguruskan pembahagiannya saperti yang telah diperintahkan kepada kita dan pastikan urusan pembahagiannya berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama.

Fahami urusan wasiat, hibbah dan wasi sebagai elemen tambahan bagi memastikan urusan pembahagian harta ini terurus dengan baik.

6.      Penutup

Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak kita terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga kita, memastikan harta kita terpelihara dan diberikan kepada waris-waris kita, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.    
Akhir sekali, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.


Sekian.